Sep 30, 2016

Sekuel Kapas-Kapas Putih

Di sebuah dunia
yang paling
aku rindu,
aku
di sini
lagi.
Aku terbang
melewati
dunia ini.
Cuma persinggahan.
Dan
di atas
lautan biru,
serta
kepul-kepul awan,
hati aku
hidup.
Aku masih ingat
diri aku
yang terlalu
mengangankan kehidupan
di atas kepulan
gula-gula
kapas putih
ini.
Berlari
melewati
satu bagian,
ke
bagian
yang lain.
Sambil mengunyah
gula-gula kapas
di baringan.
Kalaulah
ia
adalah
realiti.


19 September 2016
Dari atas langit bumi kenyalang

Sep 14, 2016

Aku Buat, Untuk Siapa?

Begitu mudah untuk memadamkan sayang
Hanya dengan kesalahfahaman
Dan kesalahpenilaian tentang apa yang cuba diinterpretasi
Yang tidak mahu pun diberi peluang
Untuk memberi penjelasan dan hujah-hujah

Jika aku diberi peluang,
Izinkan aku persoalkan :
"Demikian segala yang jengkel yang aku lakukan,
Serta segala leceh, remeh, renyah, payah
Dan segala hal yang kononnya mahukan kesempurnaan
Yang bagi kalian yang karut-karut ini,
Aku buat, untuk siapa?"

Jika kalian adalah manusia-manusia yang benar-benar kenal aku
Kalian tak akan membuang aku begini
Kalian malahan pasti tahu apa tujuan aku
Dan bagaimana perlu kalian responkan
Terhadap setiap yang aku lakukan

Betapa mudah untuk hubungan adik dan kakak dipadamkan
Dengan enggan menoleh muka
Apa lagi ketika itu,
Jelas aku lihat
Adik memaling muka sebaik aku memandang

Jika aku diberi peluang,
Izinkan aku persoalkan :
"Apakah terlalu keji dan cukup jijik 
Dan benar-benar salah segala perbuatan aku
Sehingga seorang adik 
Tidak mahu memaling mukanya 
Ke kakaknya?"
Seolah cukup benci benar dia
Seolah aku ini,
Tidak pernah menjadi orang paling penting buat dia

Jika aku diberi peluang,
Izinkan aku persoalkan :
"Apakah semudah itu seorang adik 
Memadamkan sayangnya buat seorang kakak?"
Sedang kakaknya sentiasa cuba memberi yang terbaik untuknya
Sedang kakaknya sering menutup kekurangannya
Dan menerimanya dengan kasih dan masa yang tak pernah cuba dihutangkan...

Demi Allah,
Aku bina titian ini atas sebuah nama cinta, sayang, kasih, dan ikhlas
Kalau ada pun di suatu masa aku menulis sesuatu,
Aku mohon untuk adik bacakannya atas dasar pesanan seorang kakak
Untuk kebaikan adiknya kelak
Atau atas dasar seorang kakak mahukan perhatian adiknya
Tetapi ternyata dikebanyakan masa
Hal seperti ini yang bakal terjadi

Demi Allah,
Aku tidak pernah menyangka
Aku bakal hilang
Teman baikku
Yang juga
Adikku.


14 September 2016
Johor Bahru

Hari Itu Bukan Hari Ini

Melangkah
Pada suatu tempo
Yang cukup perlahan
Mencari motif yang hilang
Dan jumpa pun,
Entah...

Membelok di bahu pedestrian
Dengan harapan
Hari itu adalah hari ini
Adik aku,
Ada denganku...

Kita biasa di sini...
Meminum kopi
Kita bahagia
Ketika orang-orang tidak tahu
Kita peduli
Hanya untuk kita

Hari itu bukan hari ini
Hari itu adalah kelmarin
Hari ini kita dekat
Tetapi ego
Yang membawa adikku jauh
Dari aku...


2 September 2016
Stasiun LRT KLCC

Menyinggah dan Meninggalkan

Ketika keretapi ini pergi
Tiba pula gerabak keretapi yang satu lagi
Kini dari arah yang berbeza
Namun,
Tujuannya masih sama
Untuk menyinggah
Dan
Meninggalkan...


7 September 2016
Stasiun LRT KL Sentral


Penafian

Dinding-dinding yang menebal
Serta lalang-lalang yang meninggi
Menafikan haknya
Untuk pergi ke tempat itu

Dia kini tersesat
Tetapi untuk pulang,
Dia tidak tahu
Bagaimana...

Tetapi dia masih menanam pokok-pokok
Serta membiarkan dedaun menjurai
Jatuh ke tanah
Dan dia enggan memangkasnya daripada mengakar ke hati

Dia biarkan segalanya mengikat
Daripada mendekat
Dan mengelak untuk melangkah
Ke balik dinding yang dia bina

"Sampai bila-bila..."
Lalu, adunan konkrit itu
Dia sapukan ke hati
Dia seolahnya sudah nekad

Dia tahu,
Di balik dinding itu
Berdiri
Kakaknya...


14 September 2016
Johor Bahru

Sep 5, 2016

Ini Kakakmu

Ini adalah kehidupan,
Dalam pada manusia-manusia yang mendekat
Pergi pula yang pernah dekat
Hingga tidak mahu lihat
Seperti hendak memandang pun sudah penat

Adik,
Ini kakakmu...
Yang kau pelukkan lengannya
Ketika kau takut
Pertama kali menaiki bas

Kawan,
Ini temanmu...
Yang paling masa terluang
Ketika kau perlukan
Masanya untuk diluang

Kadang-kadang,
Aku berdoa di hujung senja
Biar kau tidak pandai berdikari
Supaya kau perlu aku
Sebagai kakakmu
Sebagai temanmu
Yang kau perlukan
Di kesusahanmu


5 September 2016
Ruang pedestrian mengarah ke Avenue K

Jun 11, 2016

Petunjuk Ini Untuk Apa?

Mengapa di ketika aku
sedang menjauhkan,
aku didekatkan?


Jun 2016
Bilik konversasi solo

Pagi Ini Wujud Lagi

Kelmarin pergi
Dan pagi ini wujud lagi
Wujud pun tidak pernah kekal
Tetapi mengapa dibilang-bilang

Cahaya menembusi jendela
Deru motokar menderu sedikit mengganggu
Aku teringin berdiri di sana
Di bising orang-orang yang aku tidak tahu
Atau duduk saja di bawah pohon ini
Dan biarkan masa melewati

Anak-anak kecil di pagi hari mengendong tas sekolah
Mengapa wujud pagi ini?
Untuk disakiti lagi?
Atau untuk sebuah perkhabaran bahagia?

Tetapi mengingatkan bahwa Allah itu perancang
Maka, aku kalah
Pasti Allah punya rencana
Maka, aku senyum
Dan teruskan berhidup.


Mei 2016
Bilik konversasi solo

May 20, 2016

Merindui Bondanya

Puisi ini buat lelaki stranger di Instagram;
Buat AH, moga bondamu tenang di surga.

Dia rindu. Dan mencapai kertas putih
lalu menulis nama bondanya.
Sepucuk surat ingin dikirim, tetapi
ke alamat mana?

Dia rindu. Dan rasa itu berpohon
lalu mengakar ke jantung hati.
Sebaris puisi ingin dibentang di jalanan, tetapi
dibacakan bagaimana?

Dia rindu. Dan tertidur ketika
sepasang lengannya cuma mendakap angin.
Sebuah mimpi menabrak tidurnya, tetapi
bonda di mana?


Mei 2016
Kantor

Pertemuan Kali Ini Beda

Pertemuan kali ini beda,
Jantung aku berdebar dan kali ini bukan karna cinta.
Di saat-saat sepasang mata aku bakal menemukan
sepasang matamu, angin berhenti menghembus.
Kau senyum melihat aku.
Dan aku membalas senyummu, hambar.

Pertemuan kali ini beda,
Manusia-manusia ramai. Dan di balik manusia-manusia ada kita.
Di setiap kata-kata yang aku susun,
diselang hela nafas mendalam dan terasa berat.
Kau ketawa di depan aku,
Dan aku membalas tawamu, hambar.

Pertemuan kali ini beda,
Di setiap hujung ceritamu kali ini aku tidak merasa indah.
Tetapi cuma sebuah kebodohan yang ditanam di dalam perasaan.
Serta kebohongan yang kau reka dan semua adalah kepalsuan.
Kau bahagia di depan aku,
Dan aku membalas bahagiamu, hambar.


April 2016
Koc Keretapi Sri Petaling-Sentul Timur