Oct 1, 2013

Layakkah?

Aku capai Puisi Tepi Jalan. Aku tarik sedikit perca penanda buku yang diperbuat daripada anyaman kering mengkuang, yang aku beli barusan di Central Market. Aku selak halaman yang ditanda. Halaman sembilan. Aku baca. Diam-diam dalam hati. Usai habis di halaman sepuluh, aku selak kembali halaman sembilan. Tarik nafas cukup-cukup. Hembus. Aku ulang baca semula baris-baris puisi 'tak terubahkan' oleh Fynn Jamal. 

Tutup buku. Mata aku tertoleh semula ke arah skrin monitor yang menyakitkan mata ini. Benak. Seharian aku menghadap kerja ofis yang rabak ini. Aku sambung menaip, padam, menaip. Perbetulkan marjin sedikit. Kecilkan saiz gambarajah sedikit. Enter enter enter. Padam. Ctrl + Enter. Save.

'Ah, penat!'

Aku hempas badan ke kerusi sekuatnya. Bersandar tersadai penat. Dengan gaya duduk yang sangat malas, aku buka buku conteng puisi aku. Aku namakan buku ini, Baca Aku. Aku baca. Aku fikir. Aku baca lagi. Aku pun tak tahu kenapa aku ulang-ulang baca puisi yang aku tulis sendiri. Yang entah layak atau tidak digelar puisi. Yang entah aku tulis untuk siapa baca pun, aku tak tahulah.

Selak punya selak, sekeping kad nama berwarna hitam terselit di situ. Rabak-Lit. Aku buka browser. Aku google. Jemari aku ligat menaip-naip papan kekunci. Laman sesawang ProjekRabak.com terpampang di skrin monitor aku. Lama aku tenung halaman Contact/Hubungi ni. Dalam hati, 'Nak hantar emel ke tak kat depa ni?'

Toleh semula ke kanan. Aku tenung tajam-tajam timbunan buku-buku puisi yang aku kumpul. Aku capai semula Puisi Tepi Jalan. Aku belek. Letak semula. Capai pula Arsonist Jalan Labrooy. Aku selak. Padat dan tidak klise isi kandungannya. Tapi tulisan aku? 'Ah, layakkah aku minta hasil tulisan aku dibukukan oleh Rabak-Lit? Atau mana-mana rumah penerbitan buku yang lain? Layakkah?'

Berangan!


Oktober 2013
Jalan Gurney Kiri

2 komentar:

SITI MUNIRAH AHMAD said...

You should try. I think.. hurm

Syu said...

@Siti Munirah Ahmad : Jauh awak sampai ke mari. Heheh. Tak nak lah, segan.

Post a Comment