Showing posts with label Di Desir Masa Yang Diperjudi. Show all posts
Showing posts with label Di Desir Masa Yang Diperjudi. Show all posts

Oct 1, 2013

Yang Tidak Berbalas

Ketap bibir. Jantung bergerak yang tidak pernah pegun. Jejari gadis berkemeja biru air itu menujah-nujah papan kekunci sentuh telefon pintar miliknya. Sambil selendang biru bercorak sedondon ronanya dengan kemeja yang dipakai itu sesekali teralun lembut mengikut hembus angin dari celah pepohon tua di sekelilingnya. Masih menaip. Padam. Menaip semula. Padam. Dia tarik nafas sedalam-dalam, dan hembus sekuat-kuat, seberat-berat yang ibarat ada beban menghempap rongga nafasnya.

Gadis tadi, menaip kembali sebutir-sebutir aksara. 'Get well soon.' Ringkas. Dan segera menekan butang 'Send'. Dia menunggu penuh debar. Selang seminit dua kemudian, pesanannya dibalas juga sama ringkas. Bahkan lebih ringkas. 'Hopefully...'

Entah diakibatkan oleh apa, jantung dia tidak semakin surut rancak degupannya. Bahkan semakin deras yang kalau ada sesiapa berdiri di sisi dia, pasti orang itu dapat mendengar bunyi degup jantung gadis itu tadi. Dibawa tangan kanannya menyapa dada dengan harapan degupan deras jantung itu boleh diperlahankan. Hatinya seolah tidak selesa untuk berbuat tidak tahu. Untuk berbuat tidak ambil peduli. Dan itu mendorong dia menaip sekali lagi satu pesanan. 'Haih, kenapa entah aku tak sedap hati. Harap kau ok je.' Hantar. Dan dibalas. Kali ni, dia cuba memberanikan dirinya untuk luahkan rindu kepada si penerima. Sebab bagi dia, dia tak punya cukup masa lain untuk luahkan rindu yang dia peruk dalam hati saban hari. Jadi dia menaip, ucap rindu.

Namun, kali ini, tangannya menggigil, ibu jarinya terketar-ketar tatkala jarak ibu jarinya kurang sesentimeter daripada butang kekunci bertulis 'Send' itu. Sejuk dan pucat lesi tangannya. Lama dia berkeadaan begitu. 'Ah, kalau aku tak cakap sekarang, bila lagi? Sebab aku tak tahu lama mana lagi masa yang Allah pinjamkan untuk aku terus ada kesempatan ni... kesempatan untuk luah rindu aku kat dia,' getus si gadis di dalam hati. Lantas ditekannya butang 'send' dengan segera dan menunggu lagi.

Tiada.
Tiada bunyi pesanan masuk.
Tiada bunyi fon berdering.
Tiada balasan.
Tiada.


Babak 2 
Di Desir Masa Yang Diperjudi

Sep 26, 2013

Kodeksku Yang Kompleks

Sungguhpun aku cuba elak untuk terus bermurung, aku tetap terpaksa lalui. Kerana hari-hari mendatang seperti yang aku lalui sekarang, bukan mudah untuk aku bahagia yang cukup ikhlas. Lebih-lebih lagi masa yang aku rasakan kini semakin laju bergerak.

Puas aku renung angka minit pada jam di sisi kanan skrin monitor ini. Lambat geraknya. Tetapi entah sebabkan apa, aku terasa seperti segalanya meligan halilintar, seolah segera mahu tinggalkan aku terperuk di ruang kompleks ini sendirian. Sukar aku tafsir apa aku rasa.

Sesekali aku alih pandang ke sisi yang lebih cerah. Ke tingkap luas yang membolosi ke tingkap yang satu lagi itu. Debar yang semakin kuat. "Jangan pergi...", bisik hati aku kepada entah siapa. "Jangan pergi...", sekaligus raut wajah berubah kepada lebih tidak bahagia.

Aku tahu, situasi murung sebegini bukanlah yang baik untuk aku kekal di satu titik posisi. Dan kerana itu, aku cuba peruk dan sorok segala murung. Supaya tiada yang terpandang. Aku paksa kepilkan senyum sumbing aku ini kepada mereka.

Laluan yang aku sering singgah saban hari itu, semakin pudar warna daun-daun hijaunya. Batu-bata di lorong pejalan kaki itu juga semakin retak-retak kondisinya. Nuansa sekelilingnya juga, deru anginnya juga, semakin pudar, sayu, sekaligus sama aku yang sedang melangkah melaluinya. Namun, seminit setelah tiba di hujung jalan, bila aku toleh kembali ke sekeliling yang baru aku rentas tadi, kembali pulih. Semua daun-daun pokok, batu bata di lorong pejalan kaki, nuansa sekeliling dan deru angin di ruang itu, kembali pulih menyegar seperti kebiasaan.

Bingung.

Terus aku melangkah kehadapan seperti yang aku perlu.

***

Si gadis mengakhiri nota diarinya yang entah untuk dibaca siapa itu dengan penuh bingung. Lalu dia menutup diarinya, disisip rapi di balik susunan buku-buku yang lain.

Syifaa, gadis yang mudah tetapi kompleks.


Babak 1
Di Desir Masa Yang Diperjudi